Kerajaan teliti cadangan keluarkan KWSP untuk rawatan kesuburan

2011/03/25

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meneliti kemungkinan menyarankan kepada kerajaan supaya membenarkan pasangan suami isteri mengeluarkan wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata ini berikutan kos rawatan seperti “in-vitro fertilisation” (IVF) amat tinggi iaitu mencecah RM5,000 setiap rawatan yang mempunyai ratio kehamilan antara 30 dan 40 peratus. “Kita meneliti kemungkinan menyarankan kepada KWSP membenarkan pasangan terbabit mengeluarkan simpanan Akaun 2 mereka untuk tujuan itu.
“Pengeluaran itu bagi tujuan rawatan kerana isu kesuburan juga dianggap sebagai satu penyakit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perubatan Reproduktif Kebangsaan kedua, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosnah berkata, sekalipun kerajaan memberi subsidi bagi rawatan kesuburan, ada pasangan terpaksa mengeluarkan kos sehingga RM100,000 sebelum usaha mereka berjaya.
Katanya, kementerian itu menganggap masalah sukar hamil sebagai satu penyakit dan menyediakan rawatan terapeutik bagi wanita terbabit.
Rosnah berkata, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara menunjukkan kadar kesuburan di negara ini merosot daripada 3.4 pada 1994 kepada 2.3 pada 2008 dan angka itu akan terus menurun.
Sementara itu, Tengku Puan Pahang Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dinobatkan kongres sebagai penerima anugerah khas atas sumbangan mereka dalam bidang perubatan reproduktif di negara ini. -BERNAMA

Post a Comment

0 Comments